Sunday, December 2, 2012

Unta mengadu pada Nabi majikan abai solat



PADA suatu hari, Uqa’il Abi Thalib keluar bersama-sama Nabi Muhammad SAW. Beliau melihat tiga peristiwa ajaib yang berlaku kepada Rasulullah dan perkara itu menjadikan iman di hatinya tetap serta bertambah kuat terhadap Islam.


 Peristiwa pertama ialah ketika Uqa’il dan Rasulullah berasa haus. Puas mereka mencari punca air di beberapa tempat, namun tidak ditemuinya.Maka Rasulullah bersabda kepadanya: “Hai Uqa’il, dakilah gunung itu dan sampaikan salam aku kepadanya serta katakan: “Jika ada pada kamu air, berilah aku minum!”Uqa’il pun mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah.

Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dulu dengan fasihnya:
 “Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa sejak Allah menurunkan ayat yang bermaksud: “(Hai orang yang beriman, jagalah diri kamu berserta keluarga kamu daripada (seksa) api neraka yang umpannya daripada manusia dan batu).” “Aku menangis kerana takut jika aku yang menjadi batu itu, maka tidak ada lagi air padaku. Ambillah air yang ada ini.”

 Peristiwa kedua ialah ketika Rasulullah ingin membuang hajat iaitu buang air besar. Di hadapannya ketika itu ada beberapa batang pohon. Maka Rasulullah berkata kepadanya: “Hai Uqa’il, teruslah engkau berjalan hingga ke pohon itu dan katakanlah kepadanya bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata: “Supaya kamu semua datang kepadanya untuk menjadi penutup baginya kerana baginda akan mengambil air wuduk dan membuang air besar.” Uqa’il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon itu. Sebelum dia sempat menyelesaikan tugasnya, ternyata pohon itu sudah tumbang daripada akarnya dan sudah mengelilingi di sekitar Rasulullah hingga baginda selesai daripada hajatnya.

Peristiwa ketiga ialah ketika Uqa’il sedang berjalan dengan Nabi, tiba-tiba ada seekor unta yang melompat dan berlari di hadapan Rasulullah. Unta itu lalu berkata: “Ya Rasulullah. Aku minta perlindungan daripada kamu.” Ketika unta yang masih belum selesai mengadukan halnya berkata, tiba-tiba datanglah daripada belakangnya seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang itu, Rasulullah berkata: “Hendak apakah kamu terhadap unta ini?”


Arab kampung itu berkata: “Wahai Rasulullah. Aku membeli unta itu dengan harga yang mahal tetapi dia tidak mahu taat dan jinak, maka akan aku sembelih saja dan aku manfaatkan dagingnya (ku berikan kepada orang yang memerlukannya). Rasulullah bertanya kepada unta itu: “Mengapa engkau menderhaka kepada tuan kamu?” Unta itu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak menderhaka kepadanya daripada sesuatu pekerjaan, tetapi aku tidak taat kepadanya kerana perbuatannya yang buruk. “Kabilah yang tuan aku termasuk ke dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isyak. “Jika sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isyak, maka aku berjanji tidak akan menderhaka kepadanya kerana aku takut jika Allah menurunkan seksa-Nya kepada mereka, sedang aku berada di antara mereka.”

 Akhirnya Nabi Muhammad mengambil perjanjian dengan orang Arab kampung itu bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isyak. Rasulullah menyerahkan unta itu kepadanya dan dia kembali kepada tuannya.

No comments:

Post a Comment