Pada suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah
supaya pergi ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan
ditunjukkan kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman
berangkat ke tepi pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi
oleh kaum jin, manusia dan binatang.
Setibanya di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari
sesuatu seperti yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum
lagi menjumpai apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin
tersalah tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah
tempatnya". Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam
laut untuk meninjau apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama
juga barulah ia kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak
menjumpai apa-apa benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu
menyelam sehingga dasar laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi
Sulaiman pun mengarahkan Jin Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar
laut. Setelah puas menyelam dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi
Sulaiman, Jin Ifrit yang kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia
melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga
Nabi Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin
Nabi Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama
kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut mempunyai
empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama diperbuat daripada
mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna merah, pintu ketiga
diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat daripada zabarjad.
Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air tidak masuk ke
dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut
naik ke darat dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat
kubah tersebut dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat
untuk melihat kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang
pemuda berada di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya
telah diangkat ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman
memberi salam kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan
perasaan terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi
Sulaiman memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi
Allah Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana
mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia
mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu
pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat
keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.
Setelah mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya
untuk melihat benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang
terdapat di dalam kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada
pemuda tersebut bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di
dasar laut. Pemuda tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat
kepada kedua ibu bapanya selama 70 tahun. Bapanya seorang yang
lumpuh manakala ibunya pula seorang yang buta. Suatu hari ketika ibunya
hendak meninggal dunia, ibunya memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah
rela di atas khidmat yang diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah
supaya anaknya dipanjangkan umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah
ibunya meninggal dunia, tidak lama kemudian bapanya pula meninggal dunia.
Sebelum bapanya meninggal dunia, bapanya juga telah memanggilnya dan
memaklumkan bahawa dia juga telah rela di atas khidmat yang diberikan
olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal dunia supaya anaknya di
letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh syaitan.
Doa kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari
ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah
yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah
tersebut .
Ada suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik
sahaja ia masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan
pantas dan tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga
seraya memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah.
Malaikat itu memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana
khidmatnya kepada orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama
mana dia suka, segala makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia
memerlukannya. Malaikat itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk
membawa kubah tersebut ke dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus
bermunajat kepada Allah sehingga hari ini.
Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada
di dalam kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya
tetapi ia mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s
lagi". Nabi Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di
dalam kubah ini selama dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman
berkata "Rupa mu tidak berubah malah sentiasa muda walaupun sudah
dua ribu empat ratus tahun lamanya". Nabi Sulaiman bertanya
pemuda itu samada dia mahu pulang bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat
apa lagi yang harus aku pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh
Allah kepada ku ini". Nabi Sulaiman bertanya"Adakah kamu
ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab pemuda itu "Ya, silalah hantar
aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman pun memerintahkan Perdana Menterinya
membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata
kepada kaumnya "Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh
Allah. Lihatlah betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat
kepada orang tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu
bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur
kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan
perkara yang ajaib.
No comments:
Post a Comment